Pages

Monday, September 10, 2018

Salam Maal Hijrah 1440H/2108M


Assalamualaikum w.b.t dan Salam Maal Hijrah 1440H

Selawat dan salam ke atas junjungan Rasulallah Saidina Muhammad s.a.w, penghulu segala rasul serta pemberi syafaat kepada ummat di hari akhir kelak.

Sesungguhnya sambutan tahun baru hijri ini bukan sekadar menyambut pertukaran angka tahun semata-mata tetapi sebenarnya mengingatkan
kepada kita bahawa semakin dekat kita kepada pengakhiran masa dan semakin jauh kita dengan zaman Nabi dan para sahabat.

Kerapkali ketika sambutan tahun baru ini bermacam-maca soalan dalam fikiran dan hati ditanyakan pada diri:-

Sejauhmana telahku mengenal Allah s.w.t dan Rasul-Nya?

Sempurnakah tanggungjawab ku terhadap rukun islam dan iman?

Masih culaskah aku dalam melaksanakan solat? puasa? zakat? persediaan untuk menunaikan Haji?

Adakah telah ku laksanakan tuntutan di atas lebih baik atau sebaliknya jika berbanding usia ku masih kecil atau remaja?

Bagaimana hubungan sesama manusia? adakah tangggungjawab ku sebagai anak? suami? isteri? pekerja? ketua? telah ku laksanakan dengan terbaik?

dan bermacam-macam lagi persoalan bukan untuk mendapatkan jawapan tetapi lebih kepada menilai diri.

Sekiranya perkara di atas telah dilaksanakan dengan sempurna, maka teruskan istiqamah. Tetapi jika sebaliknya, maka sesuatu perlu dilakukan segera untuk mengubah diri kepada yang lebih baik. Sememangnya bukan sesuatu yang mudah malah payah dan sukar kerana terpaksa melawan hawa nafsu yang degil serta berperang dengan diri sendiri. Seringkali tersungkur di pertengahan jalan dan soalan-soalan itu kembali bermain di benak fikiran dan hati.

Jika diamati dan dihayati kisah hijrah nabi, ternyata Rasulallah s.a.w dan para sahabat juga menempuhi kesulitan dan kesusahan sepanjang perjalanan dari Makkah Al-Mukarramah sehingga sampai ke Madinah al-Munawwarah. Moga-moga diri ini mampu menghayatilah sedalam-dalamnya kisah Rasulallah s.a.w dan para sahabat sebagai motivasi diri untuk memperbaiki diri lebih dekat kepada Allah dan Rasul-Nya.

Ya Allah, Tuhan yang mengubah segala keadaan, ubahkanlah keadaan kami kepada sebaik-baik keadaan dengan kekuasaan dan kekuatan Engkau wahai Tuhan yang Maha Tinggi.

Amin Ya Rabb..